Bantal yang ditemui di rumah suspek. FOTO IHSAN PDRM
Bantal yang ditemui di rumah suspek. FOTO IHSAN PDRM


SEORANG lelaki dipercayai kemaruk seks dan gemar mencuri pakaian dalam wanita ditahan selepas melarikan 10 seluar dalam milik seorang suri rumah di sebuah taman perumahan di Kelemak, Alor Gajah di sini.

Suspek yang masih bujang dan berusia 51 tahun itu ditahan malam Selasa lalu selepas mangsa berusia 31 tahun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, di sini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa menyedari beberapa pakaian dalamnya yang direndam dalam mesin basuh di belakang rumahnya hilang ketika ingin membasuh pakaian pada jam 7.40 pagi itu.

Menurutnya, mangsa turut memaklumkan ada mengalami perkara yang sama pada 6 Februari lalu.

“Mangsa kemudian melihat rakaman kamera litar tertutup (cctv) yang dipasangnya di belakang rumah. Suspek dilihat masuk ke belakang rumah dengan memanjat pagar sebelum menyelongkar mesin basuh.

“Mangsa membawa pita rakaman berkenaan ke IPD semasa membuat laporan polis,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek mengambil beberapa pakaian dalam mangsa sebelum beredar dan mangsa mendakwa kehilangan pakaian itu sudah berlaku sejak November lalu.

“Suspek ditahan pada jam 9.30 malam kelmarin di sebuah rumah di taman yang sama dan hasil pemeriksaan menjumpai 10 seluar dalam wanita pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM150.

“Turut dijumpai 30 pakaian dalam wanita yang dipercayai milik wanita lain, termasuk seluar dalam dan anak baju yang sudah disarungkan pada bantal, katanya.

Arshad berkata, suspek yang beralamat di Gombak Utara, Selangor mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 kanun yang sama, masing-masing kerana kesalahan pecah rumah dan ugutan jenayah.

“Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah methamphetamine dan dipercayai terbabit dalam dua kes liwat di Gombak sebelum ini tetapi kes berkenaan belum dibicarakan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua- duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 2:48 PM