Najib dan Rosmah. FOTO Arkib NSTP
Najib dan Rosmah. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijangka dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi memberi keterangan berhubung rakaman audio yang didedahkan suruhanjaya itu sebelum ini.

Sumber SPRM berkata, Najib dan Rosmah akan dipanggil hadir ke Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca), di Kuala Lumpur jam 2.30 petang ini.

“Kedua-dua mereka (Najib dan Rosmah) dipanggil untuk memberi keterangan berhubung rakaman audio bagi melengkapkan siasatan SPRM,” katanya kepada Bernama.

Sumber itu berkata, mereka akan dipanggil SPRM selepas selesai diambil keterangan di Bukit Aman, pagi ini.

Sebelum ini, Bernama melaporkan polis telah mengambil keterangan 12 saksi bagi membantu siasatan pendedahan sembilan rakaman audio oleh SPRM yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi.

Mereka yang sudah dirakam percakapan termasuk Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib iaitu Tan Sri Shukry Mohd Salleh dan bekas Pegawai Khas Najib iaitu Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

Pada 8 Januari lalu, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa membabitkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib, ketika beliau menjadi perdana menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad serta SRC International Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 11:30 AM