Gajah denak Abot dan Rambai membantu membawa naik Khaty (tengah) ke atas lori sebelum dipindahkan ke Taman Negara Endau Rompin. FOTO Ihsan Perhilian
Gajah denak Abot dan Rambai membantu membawa naik Khaty (tengah) ke atas lori sebelum dipindahkan ke Taman Negara Endau Rompin. FOTO Ihsan Perhilian
Adnan Ibrahim


DUA ekor gajah betina liar yang berjaya ditangkap di Batu 6, Jalan Kota Tinggi - Mersing pada 15 Februari lalu sudah dilepaskan di Taman Negara Endau Rompin, hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor, Salman Saaban berkata, dua gajah yang dinamakan Khaty dan Mek Perani dianggarkan berusia antara 13 hingga 15 tahun.

Katanya, dua ekor gajah ini sebelum itu sering berkeliaran di kawasan pertanian seperti di sekitar kawasan Kampung Mawai, Lukut, Sendayan, Temenin, FELDA Pasak, FELDA Gugusan Lok Heng, FELDA Gugusan Waha dan kawasan sekitarnya.

“Operasi pemindahan ini dilakukan mulai jam 9.00 pagi semalam dan selesai sepenuhnya pada jam 2.30 pagi tadi dengan bantuan dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Rambai yang didatangkan khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

“Khaty dipasangkan kolar satelit Sistem Amaran Awal bagi tujuan memantau pergerakan dua ekor gajah ini untuk memudahkan Perhilitan mengambil tindakan segera jika mendekati kawasan pertanian berhampiran,” katanya.

Salman berkata demikian selepas operasi melepaskan Khaty dan Mek Perani di Taman Negara Endau Rompin dekat Kluang, hari ini.

Katanya, dia berharap dengan pemindahan dua ekor gajah betina daripada Kumpulan Gajah Panti ini tahap gangguan di kawasan pertanian di penempatan sekitar Kota Tinggi akan berkurangan.

“Bagaimana pun, pemantauan akan terus dilakukan khususnya kawasan yang sering menjadi konflik antara gajah dengan manusia supaya kejadian tidak diingini dapat dielakkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 11:49 AM
Digital NSTP Subscribe