Sri Ayu Kartika Amri


KERAJAAN akan memberi tumpuan terhadap beberapa isu utama yang dihadapi negara ketika ini berbanding peralihan kuasa tampuk pemerintahan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, fokus kerajaan kini terarah kepada aspek urus tadbir negara khususnya membabitkan ekonomi dan isu wabak Covid-19 berbanding peralihan kuasa.

Katanya, segala hasil keputusan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) semalam perlu dihormati.

“Fokus utama adalah usaha kepada urus tadbir negara sebaik mungkin, namun kita ada banyak masalah juga kerana kita berdepan dengan kluster Covid-19.

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. FOTO Mohd Fadli Hamzah
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. FOTO Mohd Fadli Hamzah

“Dan bagaimana cara kita menanganinya (wabak) terutama ia turut memberi kesan negatif kepada ekonomi.

“Justeru kita akan memfokuskan kepada perkara itu dan mengenai peralihan kuasa kita ada perjanjian bahawa akan ada peralihan yang sudah disepakati semalam dan kita tetapkan tarikhnya selepas APEC (Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik),” katanya kepada media selepas merasmikan Program Kayuhan Kasih Mesra Fun Ride di Kuala Lumpur, hari ini.

Program itu adalah anjuran Kelab Basikal Komuniti Ampang (MCC) dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pandan.

Dr Wan Azizah yang juga Presiden PH dan Pengerusi Majlis Penasihat Pakatan Keadilan Rakyat (PKR) berkata, pihaknya menghormati sebarang keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH.

Semalam, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa terpulang kepada beliau untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri atau pun sebaliknya.

Menurut beliau, setakat ini peralihan kuasa akan berlaku seperti mana ditetapkan selepas penganjuran APEC.

Dr Mahathir dalam pada itu mengakui bahawa terdapat dua pendapat berbeza sebelum majlis mesyuarat Presiden PH bersetuju untuk mendengar pandangannya.

Katanya, perbincangan ‘panjang lebar’ berlangsung sepanjang mesyuarat itu bagi kepentingan parti.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 10:30 AM