Bank Negara Malaysia. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Bank Negara Malaysia. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor selesai menjalankan pemeriksaan secara fizikal ke atas barang yang didakwa berhubung kait dengan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini.

Najib dan Rosmah serta anak mereka Nooryana Najwa tiba di BNM di Kuala Lumpur menaiki Proton Perdana hitam, jam 9.15 pagi.

Timbalan Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Urusetia Ketua Polis Negara Bukit Aman, Asisten Komisioner Amran Yaacob berkata, pasangan terbabit bersama anaknya selesai menjalankan pemeriksaan ekshibit kes jam 12.45 tengah hari.

“Mereka ditemani peguam masing-masing. Di peringkat kita, proses tersebut berjalan lancar. Sama ada akan ada pemeriksaan semula, kita masih belum menerima apa-apa arahan lagi,” katanya.

Kira-kira 20 pengamal media menunggu di luar perkarangan BNM bagi mendapatkan reaksi Najib dan Rosmah berhubung barang rampasan berkenaan.

Pada 3 Februari lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan Najib dan keluarga untuk menjalankan pemeriksaan secara fizikal ke atas barang yang didakwa berhubung kait dengan kes 1MDB.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohamed Zaini berkata, Najib, Rosmah dan Nooryana perlu diberi peluang untuk memeriksa barang yang dirampas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 1:52 PM
Digital NSTP Subscribe