20 kotak Rempah ratus dari Guatemala dirampas Maqis di KSAB. FOTO Ihsan MAQIS Johor
20 kotak Rempah ratus dari Guatemala dirampas Maqis di KSAB. FOTO Ihsan MAQIS Johor


CUBAAN membawa masuk 20 kotak rempah ratus dari Guatemala digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri, semalam.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, rempah ratus itu dibawa masuk tanpa permit import yang dikeluarkan oleh jabatan itu dan Sijil Fitosanitasi dari negara asal di laluan lori import KSAB pada 4 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan pegawainya mendapati lori yang dipandu lelaki berumur 40-an itu membawa 20 kotak rempah ratus dengan berat keseluruhan 400 kilogram dan bernilai RM58,000.

“Kesemua dagangan itu dirampas bagi siasatan lanjut mengikut bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pengimportan dagangan pertanian tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan akan mendatangkan kesan buruk terhadap industri pertanian negara memandangkan Guatemala turut termasuk dalam senarai negara-negara endemik kepada penyakit South American Leaf Blight (SALB).

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasakan lagi di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 2:23 PM