SYAKIR Shamsudin meninggal dunia di tempat kejadian. FOTO Ihsan Pembaca.
SYAKIR Shamsudin meninggal dunia di tempat kejadian. FOTO Ihsan Pembaca.


PELAJAR tingkatan empat maut, rakannya patah kaki selepas motosikal ditunggang mereka terbabit kemalangan (MPV) di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Sungai Ikan, Kuala Nerus.

Dalam kejadian 5.50 petang semalam, Syakir Shamsudin, 16, meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pelong, Setiu itu membonceng motosikal jenis Yamaha 125 Z ditunggang rakan berusia 19 tahun, dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hassan berkata, ketika tiba di selekoh dekat Masjid Sungai Ikan, penunggang motosikal itu dikatakan cuba memotong Perodua Myvi di hadapan.

“Namun tidak jadi memotong kerana kehadiran MPV yang dinaiki empat wanita dan seorang kanak-kanak dari arah bertentangan.

“Mereka cuba memotong kali kedua sebelum motosikal itu hilang kawalan dan terbalik, menyebabkan mangsa jatuh dengan kepalanya terhantuk pada rim tayar MPV,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa maut serta merta dan rakannya yang juga penuntut IKBN Wakaf Tapai, Marang patah kaki kiri. Manakala pemandu dan penumpang MPV tidak cedera.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk dibedah siasat dan rakannya turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 3:28 PM