Saifuddin Nasution. FOTO Syarafiq Abd Samad
Saifuddin Nasution. FOTO Syarafiq Abd Samad
Muhaamad Hafis Nawawi


MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail belum menerima maklumat akan berlakunya rombakan kabinet dalam masa terdekat.

Saifuddin berkata, malah dia baru sahaja bercakap dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang sedang dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya untuk menyiapkan pakej rangsangan ekonomi.

“Walaupun hari ini hari Ahad, namun beliau (Guan Eng) masih ke pejabat untuk bekerja jadi kami sendiri tidak ada maklumat berkaitan rombakan kabinet itu.

“Saya juga hanya mengetahui mengenai ada menteri yang sudah mengemas meja melalui laporan media namun tidak tahu berkaitan isu ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pada 27 Februari ini dalam usaha kerajaan mengurangkan impak ekonomi luaran berikutan penularan koronavirus baharu (Covid-19).

Terdahulu sebuah portal melaporkan sesetengah menteri telah mengosongkan jadual mereka minggu depan, sementara yang lain mengemas meja di kementerian masing-masing susulan jangkaan akan berlakunya rombakan besar kabinet.

Episod menarik mewarnai senario politik tanah air apabila beberapa parti politik mengadakan pertemuan ‘rahsia’ di beberapa lokasi di ibu negara dipercayai ada kaitan dengan perkembangan pembentukan kerajaan baharu.

Di Menara Yayasan Selangor, di Petaling Jaya, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan bersama pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seawal jam 9 pagi.

Manakala, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti yang menyokongnya di sebuah hotel di Petaling Jaya, petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 4:00 PM