FAIZAL (tengah) pada sidang media pemansuhan warta Hutan Simpan Kuala Langat Utara di Balai Raya Bukit Cheeding, Kuala Langat. FOTO Faiz Anuar
FAIZAL (tengah) pada sidang media pemansuhan warta Hutan Simpan Kuala Langat Utara di Balai Raya Bukit Cheeding, Kuala Langat. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain


TINDAKAN Kerajaan Negeri Selangor mengeluarkan notis cadangan pemansuhan (de-gazzette) status Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi Hutan Simpan Kuala Langat Utara amat mengecewakan Orang Asli yang tinggal di kawasan itu.

Beberapa Tok Batin mewakili kampung terbabit dalam cadangan pemansuhan itu meluahkan kekecewaan kerana hutan adalah kehidupan, sumber ekonomi, makanan, tempat rayau dan masa depan anak cucu mereka.

Menurut Tok Batin Pulau Kempas, Raman Pahat, berita itu amat menyedihkan dan mengejutkan penduduk di kampungnya.

“Saya sedih sangat kerana hutan dan kami tidak boleh dipisahkan itulah kehidupan kami, kalau dimansuhkan hilang lenyap untuk anak cucu kami, tolonglah dengar rintihan kami,” katanya dalam sidang media NGO mengenai pemansuhan warta Hutan Simpan Kuala Langat Utara di Balai Raya Bukit Cheeding, Banting, hari ini.

Tok Batin Busut Baru, Sari Senin pula meminta kerajaan agar tidak mengutamakan pembangunan sehingga melupakan Orang Asli yang memerlukan hutan.

“Janganlah ambil atau mansuhkan, bukan kami sahaja memerlukan hutan, haiwan serta pokok perlukan tempatnya.

“Kami ingin menikmati segala yang ada di dalam hutan, jangan fikir pembangunan sahaja. Tanah yang Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) kata dikeluarkan dari pelan nyahwarta itu pun tapak rumah sahaja, tidak termasuk tempat rayau kami sedangkan kami memerlukannya,” katanya.

Bagi Tok Batin Bukit Cheeding, Bayet Pipis, dia mewakili kampungnya mengharapkan campur tangan istana dalam kemelut dihadapi mereka.

“Saya amat berharap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Amirudin mengambil berat dan melihat perkara ini kerana di sini tempat kami berlindung dan kami tak mahu segala hidupan di hutan itu pupus,” katanya.

Pengerusi Sahabat Hutan Gambut Kuala Langat Utara, Tonjoi Pipis berkata, hutan terbabit menjadi sumber ekonomi mereka sejak sekian lama dan berharap kerajaan tidak meneruskan cadangan itu.

Pada sidang media sama, Pengarah Global Environment Centre (GEC), Faizal Parish mewakili tujuh NGO yang memperjuangkan isu alam sekitar berkata, hutan terbabit bebas daripada masalah kebakaran besar sejak 2015.

“Sejak 2015 sehingga kini, hanya sekali pada 2017 Jabatan Perhutanan melaporkan ada kebakaran, selepas itu tiada lagi malah hutan kini pulih dengan baik dan kebakaran itu bukan berpunca daripada mereka.

“Pihak Orang Asli sentiasa memantau keadaan hutan terbabit dan sekiranya mereka tidak tinggal di sini dan menjaga hutan lebih 1,500 tahun dahulu, tidak mungkin hutan kekal baik sehingga sekarang,” katanya.

Beliau berharap kerajaan negeri melanjutkan tempoh bantahan bagi memberi peluang kepada semua pihak membuat bantahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 7:57 PM
Digital NSTP Subscribe