ANTARA anggota yang ditanggap atas pertuduhan meminta rasuah dan melakukan pemerasan membabitkan penyeludupan rokok pada 19 September lalu.
ANTARA anggota yang ditanggap atas pertuduhan meminta rasuah dan melakukan pemerasan membabitkan penyeludupan rokok pada 19 September lalu.


SEORANG pegawai dan enam anggota Bahagian Risik Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Bukit Aman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini hari ini, atas pertuduhan meminta rasuah dan melakukan pemerasan membabitkan penyeludupan rokok pada 19 September lalu.

Mereka ialah Asisten Superintendan Mohd Haniff Omar, 36; Koperal Eddy Nurazman Mohd Nozeri, 36; Sarjan Helmie Yazir Ahmad, 38; Koperal Mohd Fairul Ishak; 36; Koperal Saharuddin Abdul Hamid; 35; Koperal Irdysham Mat Hussain, 35 dan Lans Koperal Mohd Fazli Mohd Radzi; 36.

Bagi pertuduhan pertama, tujuh tertuduh dengan niat bersama secara rasuah meminta suatu suapan iaitu wang sebanyak RM500,000 daripada G P Nadesa Pillai melalui Chang Chin Min untuk melepaskan tiga lori yang membawa muatan berisi 700 kotak mengandungi 35,000 karton rokok seludup dan 59 kotak mengandungi 708 botol arak tidak bercukai serta tiga pemandu lori.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2009 iaitu penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada Nadesa Pillai dengan cara akan merampas 700 kotak mengandungi 35,000 karton rokok seludup dan 59 kotak mengandungi 708 botol arak tidak bercukai jika lelaki itu tidak membayar wang rasuah berjumlah RM500,000 dan mendorong dia menyerahkan 98 kotak mengandungi 4,900 karton rokok dan 59 kotak mengandungi 708 botol arak tidak bercukai.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di simpang masuk ke Sekolah Kebangsaan Kedaik, Rompin, Pahang antara 3 pagi hingga 3.30 pagi pada 19 September lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-dua sekali.

Pendakwaaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Sarah Zainal Abiddin yang menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 bagi dua pertuduhan kepada setiap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Mohamed Khairul Fathi Mohamad Khir yang mewakili enam tertuduh meminta jumlah jaminan dikurangkan atas sebab semua tertuduh mempunyai tanggungan termasuk menyara ibu bapa yang turut berdepan masalah kesihatan.

Manakala Helmie Yazir yang tidak diwakili peguam meminta jumlah jaminan dikurangkan kerana perlu menanggung isteri dan anak dan terpaksa mengeluarkan wang simpanan.

Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 untuk dua pertuduhan bagi setiap tertuduh, manakala pasport antarabangsa mereka diserahkan kepada mahkamah.

Beliau juga menetapkan 25 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 1:58 PM
Digital NSTP Subscribe