TUN Dr Mahathir Mohamad. FOTO Aswadi Alias
TUN Dr Mahathir Mohamad. FOTO Aswadi Alias
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KEPUTUSAN Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu lebih ‘mendengar kata’ Setiausaha Politiknya.

Mendedahkan perkara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk A Kadir Jasin berkata, Dr Mahathir sudah menjelaskan agar tiada paksaan dibuat berhubung keputusannya menyerahkan jawatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas selepas Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020.

Menurutnya, pendirian itu dibuat ketika mesyuarat tertinggi parti itu diadakan di Ibu Pejabat PPBM pada Ahad lalu yang membincangkan hala tuju PPBM dalam Pakatan Harapan (PH).

“Dalam mesyuarat berkenaan, beliau (Dr Mahathir) menjelaskan mengenai mandat yang diberikan kepadanya dalam Mesyuarat Majlis Presiden pada Jumaat lalu.

“Beliau merayu kepada ahli Majlis Pimpinan Tertinggi untuk tidak memaksanya mengenepikan prinsip dan melanggar janjinya (untuk menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim selepas Sidang Apec pada November),” kata wartawan veteran itu dalam hantaran di blognya, hari ini.

Pagi ini, pemimpin kanan PPBM dikatakan datang ke rumah Dr Mahathir bagi memujuknya supaya tidak melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu selepas surat peletakan jawatan dibuat semalam.

Suhu politik negara kembali ‘panas’ selepas dikatakan wujud pakatan baru untuk mewujudkan ‘kerajaan pintu belakang’ dan ini diperkuatkan lagi selepas 11 Ahli Parlimen PKR dipecat termasuk Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Selain itu, seramai 222 Ahli Parlimen sudah dititah untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bermula petang ini bagi menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bagi membentuk Kerajaan Pusat.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 5:19 PM