RAHAISHAM menunjukkan tangannya yang disengat obor-obor. FOTO Rosli Ilham.
RAHAISHAM menunjukkan tangannya yang disengat obor-obor. FOTO Rosli Ilham.


SELEPAS penemuan obor-obor Portuguese Man O’ War di empat pantai di Terengganu, seorang nelayan mendakwa disengat spesis itu semalam, ketika menjala di Pantai Penunjuk Kijal, Kemaman.

Rahaisham A Ghani, 50, mendakwa sengatan obor-obor itu lebih sakit daripada disengat 12 tebuan yang dirasainya suatu ketika dahulu.

“Sakitnya hanya Tuhan yang tahu. Saya terpaksa menggunakan pukat untuk mencabut obor-obor itu yang melekat kuat di lengan kanan.

“Jantung saya juga berdegup kencang ketika itu dan saya fikir akan mati sahaja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Titian Berayun Kijal, Chukai, hari ini.

Menurutnya, dia bersama menantunya menjala di pantai itu kira-kira 10 malam dan mahu membuang ikan yang tersangkut pada jala sebelum, berasa sesuatu melekat di lengannya.

Katanya, dia segera dibawa menantu ke Klinik Kesihatan Kijal sebaik obor-obor itu dicabut.

“Sampai klinik saja saya terus muntah, namun klinik tidak dapat beri ubat apa-apa kerana bimbang mudarat. Saya sebaliknya dikejarkan segera ke Hospital Kemaman,” katanya.

Dakwanya, kesakitan ditanggung semakin berkurangan apabila meletakkan air liur di kesan sengatan obor-obor itu.

Dia dibenarkan pulang ke rumah kira-kira 1 tengah hari tadi selepas benar-benar stabil.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Zawawi Ali berkata, aduan mangsa menjadikannya individu pertama di Terengganu yang disengat obor-obor itu.

Beliau meminta orang ramai lebih berhati-hati selepas obor-obor itu dikesan terdampar di pantai di Marang, Setiu, Besut dan Kemaman.

Berita berkaitan:

  • Hanya guna air suam
  • Obor-obor 'predator' masih ada [METROTV]
  • Jangan sentuh obor-obor ini [METROTV]
  • Obor-obor 'predator' di Pantai Pulau Kekabu [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 7:27 PM
    Digital NSTP Subscribe