(DARI kiri) Muhammad Aiman, Muhammad Mustaqim Mohd Rasul dan Tuan Nor Atirah Tuan Ahmad Rusdi ketika ditemui pada majlis pengumuman keputusan STPM di SMK Putra, Besut, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Suliani.
(DARI kiri) Muhammad Aiman, Muhammad Mustaqim Mohd Rasul dan Tuan Nor Atirah Tuan Ahmad Rusdi ketika ditemui pada majlis pengumuman keputusan STPM di SMK Putra, Besut, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Suliani.
Nurul Fatihah Sulaini


“SETIAP kali balik sekolah, saya akan membantu kakak menguruskan keperluan ibu yang lumpuh separuh badan sejak lapan tahun lalu, itulah rutin saya setiap hari,” kata Muhammad Aiman Syazwan Ahmadi, 20.

Dia antara tiga pelajar cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, Jertih.

Muhamad Aiman mendapat keputusan 4A dan 1A- dalam Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah, Ekonomi serta Seni Visual.

“Arwah ayah meninggal pada 2018 kerana kanser dan saya satu-satunya anak tunggal lelaki dalam keluarga kami tiga beradik.

“Saya jarang keluar rumah selepas tamat sesi persekolahan kerana perlu berada di samping ibu yang perlu kepada perhatian rapi.

“Saya hanya mula mengulangkaji pelajaran selepas Isyak dan segala keperluan ibu dipenuhi supaya saya dapat fokus kepada pelajaran sehingga jam 1 pagi,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman keputusan STPM di SMK Putra, hari ini.

Muhamad Aiman berkata, dia berhasrat melanjutkan pelajaran ke universiti awam dalam jurusan pendidikan Bahasa Melayu kerana minat menjadi guru bahasa.

“Saya pernah mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi saya memilih untuk menyambung pelajaran ke tingkatan enam kerana ingin menjaga ibu,” katanya.

Rakannya, Muhammad Mustaqim Mohd Rasul, 20, berkata, keputusan berpindah dari rumah keluarga di Kuala Lumpur untuk menemani nenek di kampung berbaloi.

Dia memperoleh 5A dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

“Sebelum ini saya bersekolah di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, saya memilih untuk bersekolah di kampung untuk menjaga nenek yang uzur, selain mencuba pengalaman baharu.

“Bersekolah di kampung lebih seronok kerana kelas kami hanya ada 10 orang dan kami rapat dengan semua cikgu sedikit,” katanya.

Menurutnya, dia akan bangun jam 3 pagi untuk solat tahajud sebelum menyambung mengulangkaji sehingga Subuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 7:30 PM
Digital NSTP Subscribe