BUKIT Aman akan mengendalikan kes pegawai, anggota rasuah RM3 juta. FOTO NSTP
BUKIT Aman akan mengendalikan kes pegawai, anggota rasuah RM3 juta. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin dan Murnaena Muhammad Nasir


TINDAKAN tatatertib terhadap pegawai dan anggota polis daripada Kontinjen Selangor yang dikaitkan dengan kes peras ugut dan rasuah RM3 juta berhubung penemuan makmal dadah di Cheras, diserahkan sepenuhnya kepada pihak Bukit Aman.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya memandang serius isu salah laku oleh pegawai dan anggotanya.

“Mana-mana pegawai dan anggota yang didapati terbabit dengan kes salah laku akan dikenakan tindakan tegas.

“Kami tidak akan berselindung dalam isu ini. Jika bersalah, mereka bukan sahaja ditahan malah akan dituduh.

“Dari segi tindakan tatatertib dalam kes berkenaan pula, kami serahkan kepada Bukit Aman,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Neighbourhood Watch Kontinjen Selangor Siri 1/2020 di Hub Perindustrian Suntracks, di Bangi, hari ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan seumpama itu membabitkan pegawai atau anggotanya diminta tampil memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lima pegawai dan anggota polis terdiri daripada Inspektor dan Koperal bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor ditahan pada 18 dan 19 Februari lalu.

Lima suspek berkenaan dikatakan ditahan di IPK Selangor ekoran laporan polis dibuat seorang ahli perniagaan Taiwan berusia 49 tahun berhubung kejadian peras ugut dan rasuah selepas dia ditahan dalam serbuan pembongkaran makmal memproses dadah.

Pada 17 Februari lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim memaklumkan pihaknya menahan dua individu warga Taiwan, seorang warga China dan seorang warga tempatan berusia antara 30 hingga 49 tahun ditahan ekoran pembongkaran makmal memproses dadah itu.

Dalam serbuan berkenaan, polis merampas 1,426 pil ekstasi dan 27,546 gram ketamin selain menyita kenderaan serta wang tunai dianggarkan bernilai RM2.23 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 1:52 PM