REZWAN menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
REZWAN menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Juwan Riduan


“ACA (adik) tunggu abang, abang masuk selamatkan Aca,” Demikian jeritan terakhir Rezwan Romel, 15, kepada adik bongsunya Samasan, 2, yang rentung dalam kebakaran di Kampung Lampijas, Membakut, awal pagi tadi.

Turut terkorban dalam kejadian itu, ibunya tirinya Nadia, 25, dan lima lagi adiknya iaitu Faizal, 5; Danial, 7, Shasha, 10, Aisa, 13, dan Nana, 14.

Bapanya Romel Sharif, 34, parah dan kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) bersama sepupunya dikenali sebagai Rizal.

Rezwan yang cedera melecur di badan dan kedua-dua kakinya turut menerima rawatan lanjut di HQE I.

Menceritakan kejadian itu, Rezwan berkata, ketika itu dia bersama Rizal tidur di ruang tamu di tingkat atas sebelum terjaga selepas terhidu bau asap.

“Bapa dan ibu tidur bersama dua adik saya di dalam bilik dan tiga lagi adik termasuk Aca tidur bersama di sebuah lagi bilik di tingkat atas dan sebaik terjaga saya dan Rizal bergegas mengejut mereka.

“Ketika itu, keadaan rumah dipenuhi asap dan api mula marak. Ketika cuba menyelamatkan diri, saya ternampak Aca duduk seorang diri di dalam bilik yang pintunya mula terbakar.

“Saya kemudian menjerit ke arah Aca supaya tunggu saya masuk untuk selamatkannya dan pada waktu itu dia (Aca) hanya terduduk diam.

“Ketika mencari kain di luar rumah untuk menutup badan, tiba-tiba lantai rumah roboh menyebabkan saya terjatuh bersama bapa dan Rizal,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di HQE, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia amat kesal kerana gagal menyelamatkan adiknya itu lebih-lebih lagi melihat keadaan adiknya yang ketika itu hanya diam di dalam bilik yang terbakar.

“Sukar saya kata apa-apa bila mengingat wajah Aca yang terduduk diam di dalam bilik. Jika boleh diulang, biarlah saya yang menggantikan tempatnya.

“Sedih bila teringat kejadian itu kerana saya gagal menyelamatkan Aca yang berseorangan dan tidak tahu untuk melakukan apa-apa,” katanya sebak kerana mengingat wajah Aca.

Dalam keadaan sebak, Rezwan menceritakan bahawa adik bongsunya itu sangat rapat dengannya.

“Malam sebelum kejadian saya ada bermain dengannya dan kami sempat membuat panggilan video kepada ibu kandung kami di Kinarut.

“Saya kesal kerana tidak dapat menyelamatkan Aca,” katanya.

  • Maaf, saya tak mampu tolong - Saksi
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 3:57 PM
    Digital NSTP Subscribe