Mayat wanita ditemui dalam parit di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Arang, Lorong Kijang 1, Inderasabah, Tawau malam tadi. Foto Ihsan IPD Tawau
Mayat wanita ditemui dalam parit di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Arang, Lorong Kijang 1, Inderasabah, Tawau malam tadi. Foto Ihsan IPD Tawau
Abdul Rahemang Taiming

MAYAT wanita dipercayai warga Filipina ditemui reput dan berulat dalam parit di ladang kelapa sawit di Kampung Arang, Lorong Kijang 1, Inderasabah dekat Tawau malam tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Maria Abdullah, 23, ditemui ditutup dengan pelepah pokok kelapa sawit dan zink pada 7.30 malam.

Difahamkan, wanita itu yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri adalah isteri kepada seorang pekerja kebun di situ.

Mangsa dikatakan tidak pulang ke rumahnya sejak Sabtu lalu menyebabkan suaminya keluar mencari dan dalam masa sama lelaki itu turut gagal dikesan.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas yang mengesahkan kejadian itu berkata, berdasarkan keadaan mayat dipercayai mangsa meninggal dunia kira-kira lima hari lalu.

“Lokasi mayatnya ditemui kira-kira 200 meter dari kawasan penempatan penduduk. Tiada senjata atau objek mencurigakan ditemukan di lokasi.

“Pemeriksaan di kediaman mangsa juga mendapati tiada kesan pergelutan dan keadaan dalam rumah teratur,” katanya.

Peter berkata, suami mangsa juga gagal dihubungi sejak kali terakhir lelaki itu dilaporkan keluar mencari isterinya pada 22 Februari lalu.

“Mayat wanita itu sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besar Tawau untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) tetapi polis sedang giat mengesan suami mangsa bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 4:37 PM