LELAKI itu menunjukkan laporan yang dibuat di SKMM. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
LELAKI itu menunjukkan laporan yang dibuat di SKMM. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
Noor Hidayah Tanzizi


“KES sudah selesai dan kami berharap warganet berhenti bercakap mengenai perkara ini,” kata suami kepada wanita yang didakwa menyebabkan seorang ustazah merangkak di sekolah agama di Parit 15, Hutan Melintang.

Kejadian dipercayai berlaku minggu lalu dan video mengenainya tular di media sosial sejak semalam.

Menurut lelaki berusia 30-an yang enggan dikenali itu, kes berkenaan dianggap selesai dengan isterinya sudah menemui ustazah yang mengajar anak mereka untuk meminta maaf.

Katanya, dia turut serta dalam pertemuan itu untuk menyelesaikan perkara berkenaan dengan baik.

“Kami sudah bertemu dan saling bermaafan semalam. Saya harap semua pihak tidak lagi bercakap mengenainya supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan.

“Kami juga berharap warganet berhenti menyebarkan video berkenaan dan aduan sudah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk sekatan,” katanya yang ditemui, hari ini.

Ustazah berkenaan yang dihubungi pula mengakui perkara itu sudah diselesaikan dengan baik, namun dia enggan mengulas lanjut.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan serta menyelesaikan isu yang berlaku.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan dan berhenti menyebar video mengenainya demi kebaikan semua pihak.

Portal Harian Metro semalam, melaporkan kisah berkenaan mendapat perhatian warganet selepas rakaman video berdurasi dua minit 17 saat dimuat naik seorang individu hingga tular di media sosial.

Berita berkaitan

Ibu paksa 'guru' merangkak

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 5:30 PM