DR Hamidin Abd Hamid.
DR Hamidin Abd Hamid.
Redzuan Muharam


GABUNGAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO, MIC dan PAS dapat membentuk kerajaan negeri baharu di Johor selepas meraih majoriti mudah.

Penganalisa Politik Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid berkata, perubahan tampuk pemerintahan di negeri itu mungkin didorong oleh situasi semasa yang berlaku di peringkat kerajaan pusat sejak timbulnya episod konflik dalam Pakatan Harapan (PH), Ahad lalu.

Hamidin berkata, tidak timbul isu kerajaan pintu belakang kerana semua majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sudah menyatakan sokongan terhadap pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

“Kalau kita lihat, apa yang berlaku di Johor kini adalah rentetan situasi di Kerajaan Pusat apabila PH kehilangan majoriti selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawapan sebagai Perdana Menteri.

“Apabila sesuatu gabungan berpecah, penyusunan semula pentadbiran dilakukan dan dalam hal ini, jumlah sokongan menjadi penentu kepada pembentukan sesuatu kerajaan sama ada kekal atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Hamidin berkata, situasi sama juga dilihat berlaku di beberapa negeri lain antaranya Kedah, Perak dan Melaka.

Bagaimanapun, katanya, pentadbiran kerajaan tetap berjalan seperti biasa walaupun dengan pertukaran tampuk pemerintahan.

“Perlu difahami kerajaan pusat (Parlimen) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah dua entiti yang berasingan.

“Jadi, apa yang diputuskan di pusat tidak semestinya selari di peringkat negeri begitu juga dengan sokongan.

“Besar kemungkinan wujudnya kem pemimpin tertentu yang menjadi faktor penentu kesetiaan mereka terhadap sesuatu gabungan atau sebaliknya (keluar parti),” katanya.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bersama 52 ADUN daripada PH, BN dan PAS.

Sesi berkenaan berlangsung selama dua jam di Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan, Johor Bahru, Johor.

Daripada 56 ADUN di Johor, dua tidak dapat hadir ke istana iaitu ADUN Amanah Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan ADUN Bersatu Puteri Wangsa, Mazlan Bujang.

Setiausaha Sulit Sultan Johor, Datuk Jaba Mohd Noah dalam satu kenyataan hari ini berkata, Sultan Ibrahim Iskandar berpuas hati dengan cadangan penubuhan kerajaan negeri yang baharu gabungan Bersatu, UMNO, MIC dan PAS.

Menurut Jaba, ia adalah hasil temubual baginda dengan 54 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir menghadap semalam, seramai 28 ADUN memilih gabungan baharu, manakala 26 memilih PH.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 7:49 PM
    Digital NSTP Subscribe