MOHIDEN Mohamad yang hilang ketika mencari ambal di pantai Kampung Sambir, Asajaya. FOTO NORSYAZWANI NASRI
MOHIDEN Mohamad yang hilang ketika mencari ambal di pantai Kampung Sambir, Asajaya. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


“DIA kerap mengaji dan ziarah pusara ibu kebelakangan ini,” kata Solpiah Mohammad, 43, adik kepada seorang lelaki yang hilang ketika mencari ambal di pantai Kampung Sambir Asajaya, semalam.

Katanya, Mohiden, 44, sering mencari siput laut itu bersama penduduk kampung ketika musim puncak makanan laut itu.

“Dia memang biasa keluar mencari ambal jika ada waktu terluang untuk dijadikan lauk dan dijual terutamanya selepas dia berhenti bekerja sebagai pemandu bas,“ katanya ketika ditemui dikediamannya di Kampung Sambir di sini, hari ini.

Katanya, bagaimanapun sejak kebelakangan ini keluarga menyedari perangai pelik yang ditunjukkan anak kedua daripada empat beradik itu.

“Abang yang menghadapi masalah tekanan jiwa sejak kebelakangan ini lebih banyak berdiam diri selepas menjalani rawatan di hospital baru-baru ini.

“Dia sentiasa mengaji dan kerap menziarahi pusara ibu, seolah-olah mengetahui dia akan pergi,” katanya.

Katanya, semalam abangnya keluar mencari ambal pada jam 9 pagi bersama beberapa penduduk kampung.

“Penduduk kampung yang bersamanya balik pada jam 1 tengah hari kerana hujan lebat dan air pasang namun abang tidak bersama mereka.

“Keluarga mulai bimbang kerana dia belum balik sehingga jam 5 petang dan hanya menjumpai selipar miliknya di tebing sungai,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu pada jam 6.50 petang.

“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya menerima laporan kehilangan mangsa daripada Balai Polis Asajaya.

“Kita dimaklumkan mangsa hilang ketika mencari ambal di lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan jam 7 pagi ini, termasuk menggunakan anjing pengesan dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA),” katanya.

Katanya, operasi ditangguhkan jam 4.46 petang tadi berikutan hujan dan laut bergelora serta akan disambung pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 8:30 PM
Digital NSTP Subscribe