Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan satu lagi kes positif Coronavirus (Covid-19) hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes terbaru itu membabitkan seorang wanita tempatan berusia 53 tahun.

“Wanita itu mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun baru-baru ini sebelum pulang ke Malaysia pada 23 Februari lalu.

“Sebaik pulang dari negara itu, pesakit mula mempunyai gejala demam pada keesokan harinya dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur sebelum disahkan positif,” katanya dalam kenyataan media di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisham berkata, dua lagi kes individu positif Covid-19 sebelum ini sudah dibenarkan pulang hari ini.

“Dua individu berkenaan membabitkan kes ke-16 dan ke-20. Bagi kes ke-16, individu berkenaan adalah wanita warga China berusia 67 tahun yang mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan kes ke-20 membabitkan seorang warga Amerika Syarikat yang mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh.

“Ia menjadikan sebanyak 22 kes keseluruhan membabitkan individu yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang,” katanya.

Menurutnya, seramai 1,569 individu sudah diambil sampel bagi pengesanan Covid-19 sehingga hari ini.

“Mereka terdiri daripada pesakit di bawah pemantauan, kontak rapat, misi bantuan kemanusiaan dan penumpang kapal persiaran Dream World.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 23 kes disahkan positif Covid-19, sebanyak 1,523 adalah negatif dan 23 masih menunggu keputusan makmal,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 81,398 kes Covid-19 membabitkan 2,770 kematian dilaporkan di seluruh dunia sehingga hari ini.

“Daripada jumlah itu, empat peratus atau 3,200 kes dilaporkan di luar China membabitkan 52 kematian.

“Pemantauan dilakukan mendapati Korea, Jepun, Itali dan Iran menunjukkan peningkatan kes ketara dalam tempoh satu minggu lalu.

“KKM menyarankan rakyat Malaysia untuk menangguhkan perjalanan ke wilayah atau bandar yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak Covid-19 di China serta Korea, Jepun, Itali dan Iran,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 9:28 PM
    Digital NSTP Subscribe