USAHA mencari dua adik beradik yang dikhuatiri lemas. FOTO Ihsan Polis
USAHA mencari dua adik beradik yang dikhuatiri lemas. FOTO Ihsan Polis
BERNAMA

DUA adik beradik dikhuatiri lemas selepas dikatakan hanyut dibawa arus Sungai Jelai di Taman Rekreasi Kampung Tanjung Gahai, Lipis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa Siti Suhaida Mohd Rosli, 15, dan kakaknya Siti Nur Hidayah, 19, dikatakan ke taman rekreasi di kampung itu bersama tiga lagi adik-beradik mereka.

“Keterangan awal saksi mengatakan kedua-dua mangsa bermain di gigi air dan secara perlahan bergerak ke tengah sungai, sebelum dibawa arus deras,” katanya kepada pemberita, malam ini.

Azli berkata, polis dimaklumkan kejadian itu pada 6 petang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan serta-merta.

Bagaimanapun, ia terpaksa dihentikan sekitar 7 petang kerana cuaca mulai gelap.

Operasi SAR membabitkan empat pegawai bersama 20 anggota polis, bomba, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dibantu 20 penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Februari 2020 @ 9:43 PM
Digital NSTP Subscribe