X
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.
Zuhainy Zulkiffli


JEMAAH umrah Malaysia yang kini berada Makkah bimbang sekiranya keputusan menggantung sementara kemasukan jemaah ke Arab Saudi sejak semalam turut memberi kesan terhadap perjalanan pulang mereka ke tanah air.

Ini kerana, sejak pengumuman terbabit, mereka belum menerima sebarang maklumat terkini dikemaskini Kerajaan Arab Saudi terhadap jemaah di tanah suci untuk berangkat pulang ke negara masing-masing.

Pengarah Urusan Aflah Holidays Sdn Bhd, Romliyana Romli berkata, dia bersama 15 jemaah warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dari Alor Setar, Kedah, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada 23 Februari lalu.

Katanya, ketika menerima khabar mengenai penangguhan itu, kumpulan terbabit dalam perjalanan dari Madinah ke Makkah dan dijangka pulang ke tanah air pada 6 Mac depan.

“Ketika pengumuman itu dibuat, saya menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp mengenai beberapa rakan agensi membawa kumpulan jemaah termasuk dari Indonesia terkandas di lapangan terbang.

“Kami belum menerima maklumat mengenai perjalanan balik dan diharap tidak berlaku perubahan... memang risau kerana kumpulan jemaah saya terdiri daripada golongan istimewa,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp, hari ini.

Romliyana berkata, agensi pelancongan dan pengurusan umrah yang memiliki cawangan di Seberang Perai itu menguruskan lima lagi perjalanan sekumpulan jemaah umrah dari Alor Setar dan Pulau Pinang sepanjang Mac hingga menjelang Aidilfitri.

Menurutnya, seperti agensi berdaftar lain, bakal jemaah biasanya sudah melunaskan bayaran penuh kepada agensi bagi membayar kos tiket penerbangan dan penginapan.

Bagaimanapun, katanya, difahamkan tiket penerbangan pergi balik tetap sah dan boleh digunakan selepas ini.

“Ketika pengumuman dibuat, saya pula berada di sini (Makkah) dan agak sukar saya jelaskan kepada bakal jemaah terbabit, namun berharap segalanya diatur dengan baik serta tidak mengenepikan kerugian terpaksa dihadapi agensi.

“Ini bukan sahaja dugaan kepada kami (agensi) tetapi kepada semua umat Islam dan berharap tidak akan berlanjutan, kasihan kepada jemaah tapi apa boleh buat kita perlu ikut arahan,” katanya.

Romliyana berkata, pihaknya akan sentiasa mengemaskini status perjalanan menerusi agensi pengelola umrah selepas perbincangan dengan kerajaan negara terbabit.

Katanya, keadaan di Tanah Suci agak kelam-kabut dan sibuk selepas pengumuman dibuat kelmarin kerana pihak berkuasa menahan kenderaan membawa jemaah mungkin bagi tujuan pemeriksaan dan diharapkan keadaan semakin baik selepas ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 5:54 PM
    Kabinet Malaysia 2020