FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Juwan Riduan


TIGA lelaki termasuk dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melepaskan tembakan sebelum menyamun beberapa penduduk di Pulau Lundayan, Pitas di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, tiga lelaki dan seorang daripadanya memegang selaras M16 yang menaiki bot mendekati sekumpulan penduduk yang sedang menjemur ikan di pantai pulau berkenaan.

Suspek yang bersenjata kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke udara dan air sebelum mengarahkan semua penduduk keluar dari rumah masing-masing.

Suspek turut memukul dan menendang beberapa penduduk sebelum mengarahkan dua penduduk kampung untuk membeli syabu di sebuah pulau berdekatan dan mengarah penduduk yang lain pulang ke rumah masing-masing.

Difahamkan, salah seorang suspek yang memakai penutup hidung dan mulut adalah nelayan dan memberitahu seorang penduduk kampung dua rakannya itu adalah anggota polis dari Pulau Tigabu.

Menurut sumber, sebelum beredar, suspek memaksa penduduk kampung untuk memberikan petrol yang diambil dari bot mereka.

"Suspek turut mengambil hampir 100 kilogram ikan kering, jam tangan, wang tunai, telefon bimbit serta barangan runcit daripada beberapa mangsa sebelum beredar.

"Selepas semua suspek beredar, beberapa penduduk menaiki bot ke Pondok Polis Kinabongan, Pitas bagi melaporkan mengenai kejadian itu," katanya.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan suspek sudah ditahan untuk siasatan lanjut.

"Ya, suspek sudah ditangkap. Dua daripada mereka adalah anggota PGA dan seorang adalah orang awam,” katanya.

#kw samun, tembak, PGA, pitas

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 6:02 PM