Amirul Aiman Hamsuddin


SERAMAI 500 ahli PKR Cabang Sungai Besar mengisytiharkan keluar parti susulan kecewa dengan keputusan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia berikutan pemecatan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor, Mohamad Fauzi Ahmad berkata, ahli parti yang selama ini memperjuangkan Anwar dibebaskan dari penjara kecewa dengan pemecatan yang dibuat Presiden PKR itu terhadap ahli dan kepimpinan parti berkenaan.

“Kami kecewa kerana beberapa ahli parti dan pimpinan PKR dipecat hingga berlakunya perpecahan dalam parti ini,” katanya kepada pemberita.

Mohamad Fauzi ditemui pada sidang media di bilik mesyuarat Stadium Sungai Besar, sebentar tadi.

Beliau berkata, keputusan itu juga dibuat tanpa sebarang tekanan atau dipengaruhi pihak tertentu.

“Kami memutuskan tidak akan menyertai mana-mana parti dan akan terus bergerak bersama badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyampaikan aspirasi dan usaha Kerajaan Pusat dan negeri kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Fauzi berkata, beliau yakin beberapa ahli PKR cabang akan melakukan tindakan sama disebabkan kekecewaan terhadap Anwar.

“Saya dimaklumkan beberapa cabang lain di negeri ini turut mengikut jejak sama keluar dari PKR,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 8:13 PM