ZAIDI Abu Bakar, 39, dilapor hilang sejak semalam. FOTO Ihsan Polis.
ZAIDI Abu Bakar, 39, dilapor hilang sejak semalam. FOTO Ihsan Polis.


MAYAT lelaki dipercayai nelayan yang dilapor hilang sejak semalam di perairan Dungun, didakwa hanya timbul seketika sebelum hanyut dibawa arus.

Penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Amir Arsyad Mohd Nor, 19, memberitahu dia menemui mayat lelaki dipercayai mangsa di jeti Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun, pada 7 malam semalam.

Ketika itu katanya, dia sedang memancing sendirian sebelum melihat mayat lelaki didakwanya timbul dari bawah jeti.

“Saya terkejut selepas melihatnya muncul dari bawah jeti dan segera memaklumkan kepada seorang penduduk yang ada di jeti untuk menghubungi polis.

“Beberapa minit kemudian anggota polis tiba di lokasi, namun mayat berkenaan sudah tiada, dipercayai tenggelam,” katanya, hari ini.

Penuntut itu turut ke Balai Polis Dungun untuk membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah mengesahkan menerima laporan itu dan memaklumkan keluarga mangsa turut membuat laporan kehilangannya kira-kira 9 malam hari sama.

Katanya, mangsa dikenali Zaidi Abu Bakar, 39, berasal dari Kampung Rhu Batil, Kuala Abang dilapor tidak pulang ke rumah selepas keluar menangkap ikan.

“Polis melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) sejurus laporan dan menghentikan operasi berikutan cuaca gelap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun Penolong Penguasa Bomba Mohd Aidil Khairim Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima laporan itu pada 12.11 tengahari, hari ini.

Beliau berkata, SAR digerakkan yang disertai polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) di kawasan satu kilometer dari tempat hilang.

“Operasi pencarian turut dibantu dua bot nelayan tempatan dan sehingga kini mayat mangsa masih belum ditemui,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 5:01 PM
Digital NSTP Subscribe