Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayob
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayob
Nurul Hidayah Bahaudin

PIMPINAN Pakatan Harapan (PH) akan mengumpul bukti sokongan untuk dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi perlantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri kelapan.

Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya yakin bahawa jumlah kerusi memihak kepada PH mencukupi.

Dakwanya, PH mempunyai sekitar 112 undi sokongan dalam kalangan Ahli Parlimen, sehingga 4 petang hari ini.

“Saya bersama rakan-rakan pakatan sedang mengumpul bukti sokongan. Kita berasakan dari segi hak kami akan berusaha kerana yakin angka itu akan kami cuba buktikan melalui SD (akuan bersumpah) serta sokongan diberikan kepada Tun (Dr Mahathir) dan itu proses akan kami lalui.

“Kita akan cuba mengadakan mesyuarat pada petang hari ini di Yayasan Al-Bukhari yang turut akan disertai Tun (Dr Mahathir) dan lihat segala peraturan dan saluran perlembagaan untuk kita kemukan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel di Petaling Jaya hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai perlantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan seperti diumumkan Istana Negara, Salahuddin berkata, beliau terkejut dengan pengumuman itu.

“Disebabkan itu, kami cari jalan bagaimana harus membuat sesuatu yang kita akan buktikan dengan hujah kukuh.

“Ketua-ketua parti sudah bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong di istana pagi tadi dan jumlah itu akan diumumkan nanti.

“Kita diberikan tempoh masa oleh istana semalam untuk mengumpulkan bukti. Malah, sehingga jam 5 petang ini pun masih lagi kumpul,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pulai.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 5:41 PM
    Digital NSTP Subscribe