GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


UNIT Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman menjalankan siasatan terhadap empat individu yang mana tiga daripadanya dikesan menghina Yang di-Pertuan Agong di sosial media.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, pemilik akaun Twitter Fadiah Nadwa Fikri atau Fadiahnadwa dikesan memuatnaik kenyataan dengan sengaja berunsur hasutan yang boleh mendatangkan suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan dan boleh mengganggu gugat ketenteraman serta keselamatan awam.

“Selain itu, seorang lelaki berusia 35 tahun yang menggunakan akaun Facebook bernama Aaron Yee ditahan polis hari ini dan rampasan turut dibuat kerana menghina Yang di-Pertuan Agong.

“Reman ke atas suspek mengikut Seksyen 117 kanun prosedur jenayah akan dipohon dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Huzir berkata, satu hantaran berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dibuat seorang penama akaun Facebook dikenali Gavin Lee.

“Siasatan dimulakan ke atas hantaran dimuat naik pemilik akaun dikenal pasti Gavin Lee yang menghina Yang di-Pertuan Agong.

“Seorang lagi dikenal pasti adalah pemilik akaun Facebook, Haizad Azhar yang dikesan memuat naik status menghina Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Katanya, empat kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan iaitu kecenderungan menghasut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

“Bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat, polis menggesa orang ramai supaya mendokong prinsip rukun negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara.

“Kita menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang tindakan menyalahi undang-undang, mengeluarkan kenyataan atau sebarang artikel boleh mengganggu gugat ketenteraman awam,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 5:09 PM