PISAU digunakan suspek. FOTO Ihsan PDRM
PISAU digunakan suspek. FOTO Ihsan PDRM
Hazsyah Abdul Rahman


SEORANG ustaz ditikam di leher, bahu dan belakang badan oleh pelajar madrasah di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sepagaya Hulu, Batu 6, Lahad Datu di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 1 pagi itu, mangsa berusia 19 tahun itu dilaporkan selamat dan menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, ketika kejadian mangsa sedang tidur sebelum didatangi dua lelaki.

Menurutnya, suspek kemudiannya menikam leher, bahu dan belakang mangsa menggunakan pisau pemotong sayur.

“Ketika ditemukan, pisau masih terpacak di belakang mangsa sebelum dicabut oleh pelajar lain yang menyedari kejadian itu lalu membawanya ke hospital.

“Mangsa yang sedang dirawat dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Nasri berkata, susulan kejadian itu empat pelajar lelaki madrasah berkenaan berusia 13 hingga 17 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

“Salah seorang yang ditahan mengetahui kejadian itu namun tidak memaklumkan kepada pihak berkuasa.

“Pisau digunakan suspek turut dirampas dan semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, motif kejadian masih dalam siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 7:10 PM