Foto hiasan
Foto hiasan
Zuhainy Zulkiffli

EMPAT lelaki ditangkap kerana disyaki terbabit dalam kejadian pecah rumah di Taman Sri Impian dekat Bukit Mertajam hari ini.

Kesemua mereka itu ditahan dalam tempoh satu jam selepas pemilik rumah yang juga seorang jurutera lelaki berusia 41 tahun membuat laporan polis mengenai kejadian terbabit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Superintendan Mohd Mustafa Bidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang berlaku pada 9 pagi itu.

Menurutnya, pemilik rumah terbabit yang tiada di rumah ketika itu menerima panggilan telefon daripada jirannya selepas mendakwa ternampak pintu pagar kediaman dalam keadaan terbuka.

Katanya, dia segera pulang ke rumah sebelum membuat pemeriksaan serta mendapati keadaan rumahnya berselerak.

“Siasatan mendapati rumah mangsa mempunyai sistem penggera namun tidak diaktifkan dan suspek disyaki membuka pintu jeriji besi hadapan dengan cara mengumpil menggunakan objek keras sebelum keluar melalui pintu belakang rumah selepas dibuka daripada dalam.

“Barangan yang hilang diambil dari bilik tidur utama selain wang tunai termasuk duit simpanan bagi membayar bil rumah dan lain-lain kegunaan mangsa,” katanya.

Menurutnya, saksi di tempat kejadian mendakwa melihat kereta warna merah dan bercermin gelap beberapa kali lalu di kawasan itu sebelum berhenti tidak jauh dari rumah mangsa.

Katanya, susulan maklumat itu, pihaknya berjaya mengesan empat suspek terbabit berhampiran sebuah hotel di Alma dan merampas semula barangan yang dilarikan mereka.

“Antara barangan itu ialah komputer riba, dua tablet, rantai platinum, rantai tangan, rantai leher dan subang emas, wang tunai dan pelbagai matawang asing, sijil perkahwinan, pasport dan surat beranak yang keseluruhannya bernilai RM20,000.

“Suspek yang berusia 26 hingga 46 tahun itu juga didapati mempunyai 10 hingga 50 rekod jenayah lampau termasuk kes membabitkan dadah.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek didapati positif dadah dan kesemuanya direman mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 8:15 PM