MUHAMMAD Afiq bangkit dengan semangat baru  selepas mendapat kaki palsu. FOTO ihsan Natipah Abu.
MUHAMMAD Afiq bangkit dengan semangat baru selepas mendapat kaki palsu. FOTO ihsan Natipah Abu.
Redzuan Muharam


MUHAMMAD Afiq Muhammad Shukri pernah memasang impian untuk bergelar pemain bola sepak, namun terpaksa melupakan cita-citanya itu selepas menghidap barah tulang pada 2014.

Kesan daripada penyakit itu, kaki kirinya tidak dapat diselamatkan hingga terpaksa dipotong selepas terkena jangkitan kuman.

Bagaimanapun, remaja berusia 19 tahun yang menetap di Georgetown, Pulau Pinang itu sudah mendapat kaki palsu pada akhir Januari lalu dan ia memberinya semangat untuk memulakan hidup baru.

Malah, anak sulung daripada empat beradik itu sudah mula bertugas sebagai tukang cuci di sebuah syarikat pemaju perumahan sejak kelmarin.

Muhammad Afiq bersyukur dengan peluang diberikan itu kerana selama ini, dia tidak dapat melakukan pekerjaan lain kecuali membantu ibunya menjual apam balik di pasar malam.

“Saya disahkan menghidap barah tulang ketika berusia 13 tahun dan mengambil masa selama dua tahun untuk menerima kenyataan itu.

“Namun, ada masanya semangat saya hilang selepas melihat rakan lain sihat dan boleh berjalan sedangkan saya tiada keupayaan itu.

“Selain menjalani rawatan kemoterapi, saya pernah memakai besi pada kaki selama setahun tetapi berlaku jangkitan kuman yang menyebabkan saya mengambil keputusan untuk memotong kaki kiri,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Afiq berkata, ibunya, Zulwarni Lailee, 40, dan ayahnya, Muhammad Shukri Mohammad Haniffa, 40, agak keberatan untuk menerima keputusan itu pada mulanya kerana doktor menjangkakan kakinya berpeluang untuk sembuh kembali.

Namun, Muhammad Afiq tekad mengorbankan kaki kirinya kerana enggan terus menyusahkan kedua ibu bapanya yang turut menyara tiga adik beradik lain.

“Kalau diikutkan, doktor ada beritahu dua tahun lalu yang kaki saya boleh sembuh, tetapi mengambil masa selama tiga hingga empat tahun.

“Bukan tidak boleh menunggu tetapi saya mahu bekerja dan disebabkan itu, saya ambil keputusan bertemu dengan doktor bagi menyatakan hasrat untuk memotong kaki.

“Ibu dan ayah tidak bersetuju pada mulanya dan saya mengambil masa selama dua minggu untuk memujuk mereka yang akhirnya akur dengan keputusan saya,” katanya.

Muhammad Afiq berkata, selain membantu ibu dan ayah, dia memasang impian untuk menggembirakan adik beradiknya hasil pendapatan diterima kelak.

Katanya, tahun ini dia bercadang membelikan adik baju raya dan keperluan lain mereka mengikut kemampuan.

“Sekurang-kurangnya, saya dapat meringankan beban ibu dan ayah yang selama ini bekerja siang hingga ke malam untuk menyara kami,” katanya.

Kisah Muhammad Afiq mendapat perhatian warganet selepas dikongsikan seorang wanita, Natipah Abu menerusi Facebook (FB) kelmarin.

Hantaran berkenaan meraih lebih 1000 tanda suka dengan rata-rata pengikut Natipah meluahkan rasa kagum dengan kesungguhan Muhammad Afiq.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 10:21 PM