DR Fathir Badri Al Hadad FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
DR Fathir Badri Al Hadad FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KEPUTUSAN yang dibuat kerajaan Arab Saudi adalah tepat bagi memastikan pekarangan Kaabah di Masjidil Haram bebas wabak koronavirus baharu (Covid-19) walaupun kerugian terpaksa ditanggung agensi umrah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kurma Travel and Tours, Dr Fathir Badri Al Hadad berkata, pengumuman terbaru kerajaan Arab Saudi itu menyebabkan syarikatnya menanggung anggaran kerugian sebanyak RM600,000.

Menurutnya, walaupun terpaksa berdepan dengan jemaah yang kecewa dengan larangan terbaru itu, namun mereka memahami bahawa keputusan yang dibuat adalah demi kebaikan umat Islam yang beribadah di Tanah Suci Makkah khususnya ketika musim Haji tahun ini.

“Tidak dinafikan bayaran untuk hotel dan penerbangan serta kos lain sudah dibuat kepada syarikat berkaitan. Apabila larangan ini dikeluarkan, ada kos yang terpaksa kami tanggung untuk dibayar semula kepada jemaah.

“Jika dilihat dari sudut perniagaan, larangan ini sudah pasti memberi kesan negatif kepada aliran tunai syarikat. Namun jika dari sudut positif ia adalah keputusan yang tepat kerana Makkah menjadi tumpuan jutaan umat Islam setiap tahun,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, jemaah juga diharap dapat memberi sedikit masa kepada agensi umrah untuk memulangkan semula wang kerana ia perlu dilakukan dengan teliti kerana khuatir akan mengganggu operasi jika aliran tunai tidak dapat diuruskan dengan baik.

Katanya, disebalik kekecewaan jemaah yang tidak dapat menunaikan umrah, namun ada diantara mereka yang reda dan menganggap ia adalah ujian daripada Allah SWT.

“Kebanyakkan jemaah terima dengan hati terbuka apabila dimaklumkan larangan untuk menunaikan umrah dan syarikat juga akan berusaha secepat mungkin membayar semula kos yang sudah dibayar.

“Ini sesuatu di luar jangkaan sesiapa saja dan sebagai pemain industri, saya berharap penularan wabak ini dapat pulih secepat mungkin untuk memastikan bukan saja ekonomi malah hasrat untuk menunaikan umrah serta Haji dapat dijalankan seperti biasa,” katanya.

Arab Saudi menggantung kemasukan jemaah untuk mengerjakan umrah di Makkah dan melawat Masjid Nabawi, Madinah, untuk sementara waktu susulan penularan wabak Covid-19 di Timur Tengah.

Kerajaannya turut menggantung kemasukan ke Arab Saudi bagi pemegang visa pelancongan dari negara yang berdepan ancaman Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 5:04 PM
Digital NSTP Subscribe