ANTARA peserta yang menyertai ‘Tourism Malaysia Surfcasting’ di Pantai Cahaya. FOTO BERNAMA
ANTARA peserta yang menyertai ‘Tourism Malaysia Surfcasting’ di Pantai Cahaya. FOTO BERNAMA
Mohd Khidir Zakaria


KALAU sudah rezeki...itulah perkataan yang sesuai buat juara pertandingan memancing ‘Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2020’ di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson.

Juara yang disandang Yusri Yusoff, 52, dari Melaka selepas menaikkan ikan Gerung Belang seberat 4.575 kilogram (kg) dan membawa pulang hadiah wang tunai RM60,000 menewaskan 1,514 peserta lain.

Menurut Yusri, dia baru sahaja menjinakkan diri dalam aktiviti pertandingan memancing sejak setahun lalu.

“Memang saya terkejut, teruja dan gembira selepas diumumkan penganjur sebagai juara.

“Bagi saya kemenangan ini sebagai satu kejutan kerana belum pernah memenangi apa juga pertandingan memancing dan hadiah ini akan digunakan untuk kegunaan keluarga yang banyak memberikan sokongan,” kata pemandu jentera berat ini.

Pemenang kedua dimenangi Mohamad Zawawi Zakaria, 41, dari Pekan, Pahang yang membawa pulang RM10,000 selepas menaikan ikan Daun Baru seberat 1.100 Kilogram pada 11 pagi.

Manakala tempat ketiga dimenangi, Mohamad Rauf, 45, dari Kuala Lumpur dan memenangi wang tunai berjumlah RM5,000.

YANG Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) Mohd Zamri Mohd Esa (empat dari kanan) dan Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia Datuk Dr Ammar Abd Ghapar (dua dari kanan) bersama pemenang pada Majlis Perasmian Tourism Malaysia Surfcasting di Pantai Cahaya. FOTO BERNAMA
YANG Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) Mohd Zamri Mohd Esa (empat dari kanan) dan Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia Datuk Dr Ammar Abd Ghapar (dua dari kanan) bersama pemenang pada Majlis Perasmian Tourism Malaysia Surfcasting di Pantai Cahaya. FOTO BERNAMA

Pertandingan itu adalah anjuran bersama Tourism Malaysia dan Wakjali Management yang diadakan sempena mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 di seluruh negara.

Hadiah disampaikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa.

Turut hadir, Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar.

Sementara itu, Dr Ammar berkata, pertandingan ini adalah yang pertama bagi tahun ini dan berjaya menarik peserta seramai 1,515 orang berbanding tahun lalu seramai 1,827 peserta di Port Dickson ini.

“Bagi saya jumlah ini sudah mencukupi kerana negara sedang menghadapi masalah penularan wabak Covid-19. Kita juga ada membuat saringan dan mengambil langkah keselamatan dari wabak penyakit berjangkit ini.

“Pertandingan seperti ini penting bagi meningkatkan pelancongan domestik kerana ini sahaja sumber ekonomi yang boleh membantu negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 9:13 PM