PELAJAR UiTM kampus Melaka diarahkan pulang berikutan penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta. FOTO BERNAMA
PELAJAR UiTM kampus Melaka diarahkan pulang berikutan penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta. FOTO BERNAMA
Nazri Abu Bakar

PENUNTUT Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka mula meninggalkan kampus masing-masing di Lendu dan Bandaraya Melaka (KBM) di Jalan Hang Tuah hari ini selepas menerima pekeliling arahan penangguhan operasi perkhidmatan.

Pekeliling itu dikeluarkan daripada Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri semalam.

Seorang penuntut, Syazwani Zolkifli, 18, berkata, dia dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk balik ke kampung masing-masing selepas penangguhan operasi kampus.

Menurutnya, langkah sesi kuliah secara dalam talian juga wajar dilaksanakan bagi mengekang wabak berkenaan daripada semakin serius.

Dia yang menuntut di Fakuliti Pengurusan Hotel dan Pelancongan berkata, dia dan semua rakan kampus mengharapkan wabak Covid-19 akan dapat dikawal dan dibendung segera.

Menurutnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula esok hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara itu diyakini akan meredakan tekanan terhadap semua pihak terutama mengenai kebimbangan dijangkiti virus berkenaan.

Seorang lagi penuntut, Annur Farhana Mohammad Fadzli, 18, pula berkata, semua pelajar mematuhi arahan berkenaan termasuk membabitkan kuliah dan operasi selaras sekali gus menyokong Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Pelaksanaan kawalan pencegahan berkaitan Covid-19 kepada pelajar dan setiap masyarakat antara usaha positif untuk kebaikan semua.

“Sebagai pelajar kami sentiasa peka dengan setiap arahan untuk menyokong usaha mengekang Covid-19 ini,” katanya.

Sementara itu, Rektor UiTM Melaka Prof Dr Abd Halim Mohd Noor berkata, semua sesi penyampaian dan pembelajaran ditangguhkan selaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula esok hingga 31 Mac ini.

Menurutnya, UiTM Melaka menyokong semua usaha dalam mengekang wabak Covid-19 daripada merebak serta mematuhi arahan pengurusan universiti.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 3:53 PM
    Digital NSTP Subscribe