PENGUATKUASA Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) serbu kedai makan yang tular di Facebook dipenuhi pelanggan di Pasar Kedai Payang 2 (PKP2).FOTO IHSAN MBKT
PENGUATKUASA Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) serbu kedai makan yang tular di Facebook dipenuhi pelanggan di Pasar Kedai Payang 2 (PKP2).FOTO IHSAN MBKT
Ahmad Rabiul Zulkifli


“SEMUA yang makan di kedai itu adalah pelancong dan memberi alasan tiada tempat untuk makan selepas membungkus makanan,” kata Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil.

Che Wan Mohd Zulkifli berkata, pihaknya segera membuat pemeriksaan di Pasar Kedai Payang 2 (PKP2) sebaik sahaja tular gambar dan menerima laporan mengenai tindakan segelintir peniaga di situ.

“Apabila kami tiba di lokasi, peniaga kedai makan tidak mengaku dan menyalahkan pelanggan kerana tetap makan di kedai mereka.

“Pelanggan yang makan pula semuanya pelancong dan memberi alasan tiada tempat untuk makan.

“Oleh yang demikian kami memberi arahan supaya membungkus makanan dan makan di tempat lain dan ia amaran terakhir kepada semua peniaga dan pelanggan,” katanya.

Che Wan Mohd Zulkifli ditemui ketika menjalankan operasi menyerbu premis perniagaan makanan di PKP2 yang tular di Facebook menjual dan mengizinkan pelanggan makan di kedai, hari ini.

Menurutnya, semua anggota penguat kuasa MBKT ditugaskan ke semua lokasi tumpuan dan kawasan perniagaan termasuk di PKP2 bagi memantau peniaga yang berdegil.

“Kami memandang serius terhadap peniaga yang tidak patuh dengan arahan yang dikeluarkan.

“Semua kedai juga sudah diarahkan supaya menampal notis pemberitahuan larangan makan di kedai dan hanya boleh membungkus makanan.

“Bermula esok, MBKT tidak akan berkompromi dengan peniaga yang berdegil dan akan mengenakan tindakan tegas,” katanya.

Menurutnya, peniaga pakaian di luar PKP2 juga ada yang berdegil serta membuka kedai dan pihaknya sudah menasihati supaya menutup kedai serta-merta.

“Semua kedai pakaian, emas, cenderahati, barangan runcit, buah-buahan dan barangan basah memberi kerjasama baik dan tidak beroperasi susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan dikeluarkan itu.

“Kami faham ramai peniaga yang terjejas dengan arahan yang dikeluarkan itu namun perlu akur dan memberi kerjasama,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 2:48 PM
    Digital NSTP Subscribe