X
Gambar fail, kelihatan wanita berehat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO Aizuddin Saad.
Gambar fail, kelihatan wanita berehat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO Aizuddin Saad.
Muhaamad Hafis Nawawi


SERAMAI 841 rakyat Malaysia dilaporkan terkandas di 20 negara berikutan penguatkuasaan peraturan kawalan atau sekatan perjalanan sebagai langkah mengawal wabak Covid-19.

Mereka termasuk 274 orang di India; Uzbekistan (209); Maghribi (160); Mesir (43); Arab Saudi (28); Bangladesh (26); Sweden (26); Sepanyol (19) dan 11 orang di Austria.

Selain itu lapan orang terkandas di Montenegro; Finland (8); Ukraine (7); Switzerland (5); Norway (5); Maldives (4); Poland (3); Hungary (2) dan masing-masing seorang di Lithuania, Panama dan Ecuador.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata, semua mereka sudah diberikan bantuan konsular oleh Perwakilan Malaysia di luar negara merangkumi nasihat berkenaan urusan penginapan sementara; laluan penerbangan alternatif dan bantuan lain yang berkaitan.

Katanya, setakat ini Pejabat Perwakilan yang terbabit berjaya membantu memudah cara urusan pulang bagi sejumlah 116 rakyat iaitu 113 orang di Maghribi dan tiga dari Maldives.

“Seperti yang dinyatakan Menteri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pagi ini bahawa Perintah Kawalan Pergerakan oleh Malaysia tidak menghalang kemasukan rakyat kita dari luar negara.

“Rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara juga diminta untuk terus bertenang dan menghubungi Perwakilan Malaysia yang berkenaan di samping mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar berkata, rakyat Malaysia di luar negara juga disarankan untuk mendaftar diri dengan Perwakilan Malaysia yang terdekat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 4:55 PM
    Digital NSTP Subscribe