OPS Covid-19 oleh Polis Selangor bermula malam ini di seluruh daerah di Selangor. FOTO Ihsan PDRM
OPS Covid-19 oleh Polis Selangor bermula malam ini di seluruh daerah di Selangor. FOTO Ihsan PDRM
Ruwaida Md Zain

[email protected]

POLIS Selangor melancarkan Ops Covid-19, malam ini, bagi memastikan mana-mana pihak yang tidak berhak berada di luar rumah mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmad berkata, pihaknya akan ke lokasi yang menjadi tumpuan ramai susulan masih ada segelintir masyarakat gagal memahami dan mematuhi perintah itu.

“Kita hendak memastikan semua masyarakat akur kepada perintah itu demi kebaikan semua bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19.

“Seperti yang digariskan kerajaan, mana-mana yang tidak berhak untuk berada di luar, kita akan pastikan mereka ini pulang ke rumah masing-masing.

“Sebab kita tahu, di sekitar Kuala Lumpur ramai suka keluar malam, minum sana lepak sini, kita hendak pastikan tidak berlaku selepas ini, sebaik mungkin akan dibersihkan, termasuk kawasan perumahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas taklimat kepada anggota sebelum operasi yang bermula 8 malam ini di Shah Alam, hari ini.

Fadzil berkata, operasi yang membabitkan 100 pegawai dan anggota itu dijalankan di semua daerah di negeri ini seperti Shah Alam, Petaling Jaya, Damansara dan Klang.

“Malam ini kita akan menasihati masyarakat dan pastikan mereka akur. Kita sebenarnya sudah ada arahan untuk menguatkuasakan akta (Akta Polis 1967) itu, sekiranya perlu digunakan, kita akan gunakan.

“Bagi pihak Ketua Polis Daerah juga, mereka juga menjalankan sekatan jalan raya di daerah masing-masing, sedikit demi sedikit sudah dimulakan,” katanya.

Beliau juga turut mengulas dakwaan beberapa kawasan pembinaan yang masih mengerahkan pekerja bekerja.

“Untuk peringkat pertama seperti yang saya jelaskan tadi, malam ini kita lebih untuk menasihati masyarakat supaya mereka akur dengan perintah yang dikeluarkan.

“Kita sudah diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan peruntukan akta yang ada, tetapi setakat ini belum lagi.

“Sekiranya ada pihak masih berdegil, kita akan menguatkuasakan akta ini, maksudnya laporan akan dibuat, kertas siasatan akan dibuka dan seterusnya tindakan akan diambil kerana sudah jelas di sebut dalam akta itu, kesalahan berlaku sekiranya gagal mematuhi perintah yang sudah dikeluarkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berhubung kegagalan premis atau pihak tertentu mematuhi perintah itu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 9:40 PM