MOHAMAD Shukri Mohamad. FOTO Arkib NSTP
MOHAMAD Shukri Mohamad. FOTO Arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


MUFTI Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dimasukkan ke hospital pagi semalam selepas mempunyai tanda jangkitan wabak Covid-19.

Difahamkan, Mohd Shukri mengalami demam dan sakit tekak selepas pulang dari Sarawak, Khamis lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pagi semalam.

Ahli keluarga ketika dihubungi berkata, bapanya mengalami sakit sendi selepas pulang dari Sarawak dan mendapat cuti sakit ketika ke klinik pada Ahad lalu.

“Namun selepas keadaan demam tidak berkurangan, bapa sekali lagi ke klinik sebelum diminta membuat saringan dan dimasukkan ke HRPZ II jam 9 pagi semalam.

“Bapa dimasukkan ke hospital untuk pemantauan memandangkan sekarang wabak Covid-19. Keputusan darah bapa belum lagi keluar.

“Saya menerima banyak panggilan daripada orang ramai dan mesej yang tersebar mengatakan bapa dalam keadaan kritikal adalah tidak benar,” katanya.

Beliau berkata, pagi tadi dia sempat panggilan video dengan bapanya dan dimaklumkan berada dalam keadaan baik namun ada rasa mual.

“Kami sekeluarga juga diminta untuk hadir ke Klinik Kesihatan untuk ujian saringan petang ini. Kami meminta orang ramai mendoakan keadaan bapa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 12:19 PM