KUALA LUMPUR 15 MAC 2020. Suasana di lobi untuk memasuki wad Hospital Kuala Lumpur dipenuhi pelawat berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengehadkan jumlah pelawat ke wad dan waktu melawat yang lebih singkat. NSTP/ASYRAF HAMZAH
KUALA LUMPUR 15 MAC 2020. Suasana di lobi untuk memasuki wad Hospital Kuala Lumpur dipenuhi pelawat berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengehadkan jumlah pelawat ke wad dan waktu melawat yang lebih singkat. NSTP/ASYRAF HAMZAH
BERNAMA

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM160 juta, kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk disalurkan kepada 26 hospital di negara ini, bagi menangani gelombang kedua wabak Covid-19.

Sambil merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada doktor, jururawat, pegawai kesihatan dan semua pihak di KKM, yang bertungkus lumus tanpa henti selama sebulan setengah, Muhyiddin berkata, peruntukan itu boleh digunakan, bagi pembelian aset perubatan dan aset bukan perubatan.

“Untuk membantu KKM melaksanakan program bagi menangani Covid-19 di seluruh negara, kita telah meluluskan lebih daripada RM259 juta untuk digunakan membeli ubat-ubatan, peralatan dan pelbagai lagi yang diperlukan.

“Ada lagi permohonan RM160 juta yang dikemukakan kepada Kementerian Kewangan. Saya akan beritahu Menteri Kewangan, supaya kita dapat luluskan dengan seberapa segera, kerana ini adalah suatu krisis yang agak serius dan tak boleh kita lengah-lengahkan,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas mendengar taklimat berhubung usaha menangani kes Covid-19 di Johor, oleh Pengarah Kesihatan Johor Dr Aman Rabu di Hospital Permai, Johor Bahru.

Katanya beliau menghargai sumbangan semua pihak di KKM dan percaya seluruh rakyat Malaysia juga terhutang budi, terhadap apa yang telah diusahakan oleh para doktor mahupun jururawat, pegawai perubatan dan tenaga di peringkat KKM, yang telah membantu dalam menangani COVID-19.

“Kita harap semangat mereka masih kukuh lagi,” katanya lagi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2020 @ 5:44 PM
    Digital NSTP Subscribe