AHSMON Bajah. FOTO ihsan Polis
AHSMON Bajah. FOTO ihsan Polis
Nurul Amanina Suhaini


POLIS menyiasat tindakan pemilik kilang Kawasan Perindustrian Lukut di Kota Tinggi, yang dipercayai memberi maklumat palsu bagi mendapatkan pengecualian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, sepasukan khas Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bersama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Daerah Kota Tinggi melakukan serbuan ke atas kilang terbabit.

“Hasil serbuan dibuat berdasarkan aduan, operasi kilang masih berjalan dan tidak mematuhi kategori yang dibenarkan ketika PKP.

“Pemilik kilang berusia 54 tahun itu tidak ditahan, cuma diambil siasatan dan akan rujuk pendakwaraya pada Ahad ini untuk dituduh.

“Kementerian Kesihatan Malaysia membuka siasatan mengikut Peraturan 5(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Jika disabitkan kesalahan, hukuman penjara enam bulan atau boleh dikenakan denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan di Kota Tinggi, hari ini.

Beliau berkata, polis juga membuka siasatan mengikut Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama kerana memberikan maklumat palsu kepada pihak polis.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, hukuman penjara boleh dikenakan sehingga dua tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 6:56 PM
    Digital NSTP Subscribe