ZAINI (kiri) pada sidang media di IPK Sabah, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
ZAINI (kiri) pada sidang media di IPK Sabah, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan

POLIS Sabah menegaskan keadaan sekarang bukan darurat tetapi memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai menangani penularan wabak Covid-19.

Ini susulan satu rakaman video berdurasi 17 saat memaklumkan darurat diisytiharkan yang tular di media sosial.

Dalam video itu memaparkan kenderaan polis menggunakan pembesar suara memberitahu tiada lagi pergerakan masuk dan keluar ke Kota Kinabalu dan Lahad Datu ketika ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, pihaknya mendapati berlaku kekeliruan oleh anggota yang bertugas.

"Tiada pengisytiharan darurat seperti yang dipaparkan dalam video itu tetapi sebenarnya polis dalam usaha memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan.

"Oleh itu, orang ramai perlu mematuhi arahan untuk duduk di rumah sepanjang tempoh perintah berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun Zaini berkata, secara umumnya terdapat peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat di negeri ini terhadap langkah diambil kerajaan itu.

"Mungkin pada hari pertama agak kelam kabut namun kini peratus pematuhan itu dilihat meningkat.

"Oleh itu kerjasama sepenuhnya amat kita perlukan supaya Perintah Kawalan Pergerakan ini mencapai matlamatnya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 8:40 PM