ANGGOTA PGA7 bersedia mengawal kawasan sempadan Malaysia-Thailand sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Ihsan PGA7
ANGGOTA PGA7 bersedia mengawal kawasan sempadan Malaysia-Thailand sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. FOTO Ihsan PGA7
BERNAMA

BIARPUN arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan masuk hari keempat hari ini, namun ‘lorong-lorong tikus’ di pangkalan haram di Kelantan masih menjadi laluan segelintir penduduk yang keluar masuk di kawasan itu.

Pegawai Pemerintah Batalion ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, polis kini meningkatkan kawalan di pangkalan haram di sekitar kawasan Rantau Panjang, Jeram Perdah di Pasir Mas dan Pengkalan Kubor, Tumpat.

Beliau berkata, susulan penguatkuasaan PKP dari 18 hingga 31 Mac ini, polis memperketatkan kawalan di 88 pangkalan haram berbanding 14 pangkalan sebelum ini berikutan sikap penduduk di sempadan yang tidak mahu mematuhi arahan itu.

“Untuk tugasan ini pasukan kami menggunakan kekuatan seramai 200 pegawai dan anggota. Tindakan drastik ini diambil untuk mengekang pergerakan warga Malaysia dan asing daripada keluar dan masuk secara bebas,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Azhari berkata, setiap kenderaan yang keluar dan masuk di sempadan akan diperiksa di semua sekatan jalan raya mahupun di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) bagi memastikan tiada pelanggaran terhadap PKP yang dilaksanakan kerajaan dalam menangani penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Katanya, mereka turut menasihati rakyat Malaysia di sempadan untuk sentiasa berada di rumah, mengurangkan aktiviti di luar serta tidak menggunakan pangkalan haram untuk keluar dan masuk di kedua-dua negara.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 10:50 PM
    Digital NSTP Subscribe