ORANG ramai yang berbaris untuk memasuki pasar awam dikawal selia oleh anggota pengut kuasa mengikut peraturan ditetapkan. FOTO Ihsan MPS
ORANG ramai yang berbaris untuk memasuki pasar awam dikawal selia oleh anggota pengut kuasa mengikut peraturan ditetapkan. FOTO Ihsan MPS
Nurul Hidayah Bahaudin


MAJLIS Perbandaran Selayang (MPS) menguatkuasakan beberapa peraturan bagi urusan pembelian di semua pasar awam di Selayang sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelakkan kepadatan orang ramai.

Yang Dipertua MPS Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, pihaknya memberi fokus kepada kawalan keluar masuk orang ramai di pasar awam seluruh Selayang pada pemantauan dijalankan yang masuk hari kelima PKP dilaksanakan.

“Antara peraturan ditetapkan adalah hanya satu pintu masuk akan dibuka bagi semua pasar awam dalam Pentadbiran MPS dan hanya satu wakil bagi setiap keluarga dibenarkan masuk untuk urusan pembelian barangan keperluan.

“Setiap pembeli perlu memastikan jarak selamat sekurang-kurangnya satu meter dari pembeli lain ketika menjalankan urusan dan tidak digalakkan untuk mengerumuni meja jual selain digalakkan memakai sarung tangan serta penutup muka,” katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Shamsul berkata, seramai 35 anggota dari Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan, Jabatan Pelesenan serta Jabatan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS terbabit dalam pemantauan itu.

“Setakat ini, keadaan di semua pasar awam di Selayang didapati terkawal dan orang ramai mematuhi peraturan ditetapkan. MPS berharap keadaan ini akan berterusan dan masyarakat akan terus memberi kerjasama dalam membantu usaha kerajaan mengekang penularan wabak Covid-19 yang melanda.

“MPS juga akan terus melakukan pemantauan untuk memastikan setiap peraturan dan arahan dikeluarkan sepanjang tempoh PKP dipatuhi,” katanya.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Khas MPS yang beroperasi pada Isnin hingga Jumaat jam 8 pagi hingga 5 petang di talian 03-61389898 atau talian bebas tol di 1800-222-677 untuk sebarang pertanyaan atau aduan.

“Orang ramai juga boleh merujuk laman sosial MPS untuk sebarang pengumuman terkini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 2:29 PM
    Digital NSTP Subscribe