SEKITAR Perintah Kawalan Pergerakan.
SEKITAR Perintah Kawalan Pergerakan.
Zuliaty Zulkiffli


POLIS menafikan seorang anggotanya dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar kerana dijangkiti Covid-19 seperti ditularkan dalam media sosial, hari ini.

Ketua Polis Daerah Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, anggota berusia 58 tahun itu sebenarnya dirawat akibat penyakit darah tinggi.

Menurutnya, anggota terbabit dikejarkan ke HSB selepas terjatuh ketika menjalankan tugas Ops Covid-19 di Kepala Batas, Alor Setar, pada 4 petang semalam.

“Mangsa ketika itu mengalami kebas kaki, tangan dan pening kepala dikatakan pitam secara tiba-tiba.

“Doktor memaklumkan pesakit diberi bantuan pernafasan dan sedang dirawat di Zon Merah HSB,” katanya ketika ditemui melakukan sekatan jalan raya di Jalan Mergong, Alor Setar, hari ini.

Mohd Rozi berkata, orang ramai dinasihatkan tidak menyebar berita tidak benar berkaitan Covid-19 kerana boleh menimbulkan suasana panik.

Dalam pada itu, Mohd Rozi berkata, kolaborasi bersama anggota tentera dalam sekatan jalan raya berjalan dengan baik dan jumlah kenderaan juga berkurangan di atas jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 6:34 PM