X
MOHD ZOHDI SAAD
MOHD ZOHDI SAAD
Zuliaty Zulkiffli


SEMUA premis perniagaan, kedai runcit dan pasar raya di bandar raya Alor Setar, diarah menghadkan tempoh waktu operasi berkuatkuasa hari ini.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Zohdi Saad berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan pergerakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang dilaksana bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19.

Jelasnya, hanya premis menjual makanan dan minuman iaitu restoran, warung, medan selera, penjaja kecil, trak makanan dan pandu lalu sahaja dibenarkan beroperasi secara pembungkusan atau penghantaran mulai 6 pagi hingga 8 malam.

“Bengkel pembaikan kenderaan, kedai alat ganti, tayar dan kedai penyaman udara boleh beroperasi dari 9 pagi hingga 8 malam.

“Kedai menjual keperluan haiwan dibenarkan beroperasi dari 9 pagi hingga 8 malam manakala kedai runcit serta kedai barangan keperluan bayi dibenarkan beroperasi dari 9 pagi hingga 8 malam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zohdi berkata, semua pasar raya pula dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam, manakala kedai serbaneka yang menjual makanan dibenarkan beroperasi dari 7 pagi hingga 10 malam.


Beliau berkata, pasar awam dan penjaja yang menjual barangan basah serta keperluan dapur pula dibenarkan beroperasi dari 7 pagi hingga 1 tengah hari.

“Pasar borong ikan dan sayur pula dibenarkan beroperasi dari 2 pagi hingga 7 pagi.

“Selain itu, stesen minyak dan kedai serbanekanya dibenar beroperasi mengikut kelulusan lesen sedia ada tetapi digalak menutup operasi lebih awal,” katanya.

Mohd Zohdi berkata, orang ramai perlu mengikut arahan ditetapkan kerajaan dan hanya keluar membeli barangan keperluan ditetapkan sahaja.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 11:09 AM