OPERASI mencari dua pemburu emas dipercayai tertimbus dalam runtuhan tanah di kaki Gunung Jerai, semalam, disambung semula, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, gerakan mencari Roslan Saidin, 52, dan Md Noor Shaari, 68, dimulakan pada 8 pagi selepas ditangguh tengah malam tadi.
“Ketika ini kerja pelebaran tanah sedang dilakukan menggunakan dua jentera pengorek bagi membolehkan jentera berkenaan masuk ke kawasan runtuhan.
“Seterusnya, khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) akan digunakan bagi menentukan kedudukan sebenar mangsa yang tertimbus,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Sayani berkata, kerja mencari mangsa dijangka mengambil tiga hingga empat jam lagi berikutan struktur tanah yang tidak stabil.
Beliau berkata, Pasukan Khas Taktikal, Operasi dan Penyelamat (STORM) akan melakukan kerja pencarian secara manual selepas kedudukan mangsa dikesan.
Katanya, 40 anggota bomba termasuk 12 anggota STORM dan lapan anggota unit K9 terbabit dalam operasi ini.
Semalam, media melaporkan dua mangsa terbabit dipercayai tertimbus ketika sedang mencari emas di kawasan itu.
Mangsa dianggarkan tertimbus pada kedalaman antara 1.5 hingga tiga meter.
Berita berkaitan: