AYOB Khan
AYOB Khan


KADAR pematuhan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Johor mencapai 92 peratus dalam tempoh 24 jam, sejak semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay berkata, baki lapan peratus lagi bukan tertumpu kepada mereka yang melanggar arahan PKP, sebaliknya keluar rumah atas sebab yang dibenarkan.

“Alhamdulillah, 24 jam lepas, kadar pematuhan adalah 92 peratus, lapan peratus ini tidak semestinya mereka langgar arahan, tetapi ada yang keluar pergi hospital, pergi beli makanan dan ada yang hendak hantar barang.

“Bagaimanapun, kami masih tidak puas hati lagi, tetapi dari semasa ke semasa kadar pematuhan itu dijangka terus meningkat,” katanya pada sidang media bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada lawatan Op Covid-19 di Jalan Tampoi, Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir Panglima 7 Briged Johor, Tentera Darat Malaysia, Brigadier Jeneral Datuk Zawawi Adam.

Ayob Khan berkata, pemeriksaan bagi pematuhan PKP dilakukan sama ada melalui sekatan jalan raya atau rondaan bersama ATM.

Katanya, sejak hari pertama hingga semalam, sebanyak 6,216 kenderaan, 7,759 individu dan 401 premis diperiksa.

“ATM bersama polis membuat penugasan secara bersama-sama dengan polis dalam melaksanakan sebanyak 39 sekatan jalan raya dan juga 50 rondaan.

“Kekuatan anggota yang terbabit bagi polis lebih 2,000 anggota dan ATM meletakkan seramai 73 pegawai dan 651 anggota lain-lain pangkat ditugaskan untuk operasi terbabit,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 5:08 PM
    Digital NSTP Subscribe