EMPANGAN Durian Tunggal, Alor Gajah. FOTO arkib NSTP
EMPANGAN Durian Tunggal, Alor Gajah. FOTO arkib NSTP


KERAJAAN negeri Melaka memberi jaminan akan menamatkan catuan bekalan air di Melaka jika paras air di empangan utama di Durian Tunggal melebihi 60 peratus.

Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali berkata, ketika ini paras air di semua empangan di negeri itu masih belum membenarkan supaya catuan berkenaan dihentikan.

Sehubungan itu, beliau meminta supaya diberikan sedikit masa bagi untuk memulihkan situasi catuan air berjadual memandangkan Melaka tidak mempunyai sumber air semula jadi dan hanya bergantung kepada kolam tadahan, pengepaman air bersih dari negeri jiran, selain sumber hujan.

“Paras empangan air ketika ini belum mengizinkan catuan air berjadual di Melaka dihentikan. Alhamdulillah, hujan sejak beberapa hari lalu membantu sedikit peningkatan paras air di empangan.

“Kalau ia (hujan) berterusan, saya yakin bila sampai tahap kapasiti air meningkat, sudah pasti tidak ada lagi catuan air berjadual di Melaka,” katanya.

Beliau ditemui selepas Program Menyantuni dan Penyampaian Bantuan Makanan Kering kepada Petugas Polisserta Tentera di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang hari ini.

PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyampaikan sumbangan makanan kering kepada Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kassim Karim, sambil diperhatikan Sulaiman. FOTO Amir Mamat
PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyampaikan sumbangan makanan kering kepada Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kassim Karim, sambil diperhatikan Sulaiman. FOTO Amir Mamat

Sehingga tengah hari ini, paras air di Empangan Durian Tunggal mencatatkan bacaan di paras 27.3 peratus, diikuti Empangan Jus (22.4 peratus) dan Empangan Asahan (64.9 peratus).

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, graf peratusan itu menunjukkan peningkatan pada tahap memuaskan berbanding minggu lalu, paras air di Empangan Durian Tunggal kekal di bawah bacaan 20 peratus.

“Paras air berubah susulan taburan hujan yang tinggi sejak Jumaat lalu dan berharap peningkatan paras air di empangan dan kolam tadahan terus meningkat bagi membolehkan bekalan 600 juta liter air sehari dapat disalurkan seperti biasa tanpa pelaksanaan bekalan secara berjadual,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2020 @ 7:32 PM