Suraya Roslan


KERAJAAN akan memohon China menghantar pakar perubatan negara itu ke Malaysia bagi membantu barisan hadapan kesihatan memerangi wabak Covid-19.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Wisma Putra menggunakan hubungan baik Malaysia dengan kerajaan luar negara bagi mendapatkan bantuan pakar dan peralatan perubatan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negara.

“Melalui hubungan antara Malaysia dan China, Wisma Putra termasuk saya sendiri mula berbincang dengan kerajaan China bagi memohon bantuan menghantar pakar khususnya dalam bidang perubatan ke Malaysia dengan segera.

“Langkah ini bertujuan membantu petugas barisan hadapan kita perangi wabak ini habis-habisan.

“Susulan perbincangan ini, saya difahamkan pakar perubatan daripada 26 hospital di Malaysia akan mengadakan sidang video dengan pakar perubatan yang berada di China, Khamis ini bagi berkongsi kaedah serta strategi terbaik dalam melawan Covid-19,” katanya pada sidang media hari ini.


Melalui hubungan antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Hishammuddin berkata, Wisma Putra sedang berusaha mendapatkan bantuan peralatan perubatan daripada kerajaan itu dalam masa terdekat.

Katanya, perkara itu dikongsi ketika menghadiri Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Mengulas mengenai rakyat Malaysia terkandas di luar negara, beliau berkata, lebih 1,000 rakyat Malaysia yang terkandas di Uzbekistan, Mesir, Maldives, Nigeria, Thailand, Jepun, Kemboja dan beberapa negara lain berjaya pulang ke tanah air.


“Malah, Wisma Putra juga setakat pagi ini berjaya membawa pulang seramai 696 rakyat Malaysia yang terkandas di India termasuk menerusi kerjasama dengan parti Malaysian Indian Congress (MIC) dan Air Asia.

“Insya Allah, ramai lagi akan dibawa pulang dari India dalam waktu terdekat.

“Di Iran, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan bantuan Wisma Putra dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga berjaya membawa pulang seramai 46 rakyat Malaysia dari negara itu,” katanya.


Hishammuddin berkata, MKN, Wisma Putra, NADMA dan Perwakilan Malaysia (Malawakil) sedang berunding dengan kerajaan Itali bagi memberi kebenaran mendarat khas kepada pesawat dari Malaysia seterusnya membolehkan urusan repatriasi dari Itali segera dilaksanakan.

“Selain itu, Wisma Putra melalui Malawakil di Bangladesh juga sedang membuat persiapan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di sana susulan keputusan kerajaan Bangladesh berkaitan penularan wabak Covid-19.

“Setakat jam 12 tengah hari tadi, seramai 367 rakyat Malaysia direkodkan berada di Bangladesh. Jumlah ini termasuk 219 penuntut di Bangladesh; 55 kakitangan Hospital Medan Malaysia di Cox Bazar, 73 orang yang menetap dan bekerja di Bangladesh termasuk ahli keluarga mereka dan 20 penjawat awam serta ahli keluarga penjawat awam yang bertugas di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh,” katanya.


Menurutnya, seramai 270 orang bersetuju dibawa pulang ke Malaysia dalam masa terdekat bagaimanapun kerajaan meminta tujuh penjawat awam untuk kekal bertugas di Suruhanjaya.

“Semua mereka akan dibawa pulang menggunakan sebuah pesawat sewa khas jenis Airbus 332 milik syarikat penerbangan Malaysia Airlines.

“Buat masa ini, kerajaan Bangladesh menyuarakan jaminan akan memberi kebenaran khas kepada pesawat ini untuk mendarat serta berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka.

“Sementara itu, selepas membiayai sepenuhnya kos keseluruhan enam penerbangan sewa khas untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di India, hari ini sukacitanya saya mengumumkan kos penerbangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari Bangladesh ini sekali lagi akan dibiayai sepenuhnya parti MIC,” katanya.

DATUK Seri Hishammuddin Hussein.
DATUK Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya, Wisma Putra sedia maklum masih ada rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara susulan keputusan kerajaan disana berkaitan Covid-19.

Malawakil di luar negara, MKN dan NADMA akan terus menghulurkan bantuan sewajarnya demi memastikan rakyat Malaysia yang terkandas ini dijaga rapi.

“Saya faham, mereka amat kepenatan dan mahu pulang ke tanah air secepat mungkin. Oleh sebab itu, kami di Wisma Putra sedang meneliti setiap ruang dan peluang yang mampu mempercepatkan urusan kepulangan semua rakyat Malaysia yang terkandas.

“Saya janji kita akan lakukan apa sahaja yang terdaya, kita juga sentiasa menyalurkan maklumat dari Malawakil kita di luar negara kepada MKN bagi membolehkan rakyat Malaysia yang terkandas di negara yang terjejas teruk akibat Covid-19 diberikan keutamaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 4:20 PM