Azrul Affandi Sobry


MASIH banyak pam minyak tidak mempunyai cecair basmi kuman (hand sanitizer) meskipun kerajaan sudah mewajibkan pengusaha stesen minyak menyediakannya di premis mereka.

Tinjauan Harian Metro di beberapa stesen minyak sekitar Lembah Klang mendapati, kebanyakan stesen minyak hanya menyediakan ‘hand sanitizer’ di kaunter bayaran atau di beberapa tiang tertentu yang tidak disedari pengguna.

Namun, ada pengusaha stesen minyak yang mengambil langkah tambahan dengan meminta pekerja mereka untuk mencuci pemegang pam minyak setiap jam bertujuan membasmi kuman terutama dalam mengekang penularan wabak Covid-19.

Ada juga kelihatan pekerja stesen minyak memakai sarung tangan dan membantu pengguna untuk mengisi minyak namun kerana kekurangan pekerja, tidak semua pengguna yang dapat mereka bantu.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, semua pengusaha stesen minyak wajib menyediakan cecair pembasmi kuman atau pembersih tangan di semua pam minyak masing-masing berikutan kebimbangan terhadap jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, ramai yang meminta stesen minyak menambah pekerja untuk membantu pelanggan mengisi minyak kerana kebimbangan penularan jangkitan.

Katanya, kerajaan berpandangan langkah untuk menambah pekerja di stesen minyak sukar untuk dilaksanakan ketika ini.

Justeru, beberapa pengguna yang ditemui di stesen minyak berharap arahan kerajaan ini dapat dipatuhi pengusaha kerana mereka juga bimbang penularan virus Covid-19 boleh berlaku kerana ramai orang menggunakan pam minyak secara kerap setiap hari.

Pengguna yang hanya dikenali sebagai Roseline berkata, setakat ini dia belum nampak ada mana-mana stesen minyak mempunyai ‘hand sanitizer’ di setiap pam minyak.

“Saya sedar begitu penting mencuci tangan selepas memegang pemegang pam minyak dan kerana itu saya sentiasa bersedia dengan ‘hand sanitizer’ di dalam kereta.

“Namun, lebih baik sekiranya semua pam minyak dapat sediakan ‘hand sanitizer’,” katanya.

HAND sanitizer yang diletakkan di tiang tertentu di stesen minyak. FOTO Azrul Affandi Sobry
HAND sanitizer yang diletakkan di tiang tertentu di stesen minyak. FOTO Azrul Affandi Sobry

Bagi seorang lagi pengguna yang enggan namanya disiarkan, ‘hand sanitizer’ amat perlu disediakan di semua pam minyak kerana ia selalu dipegang orang ramai dan berisiko menyebarkan virus Covid-19.

“Kerajaan sudah beri arahan. Sepatutnya pengusaha stesen minyak perlu patuh dan memastikan pembersih tangan itu disediakan di semua pam. Mujurlah saya ada bawa ‘hand sanitizer’ sendiri,” katanya.

Namun, ada beberapa stesen minyak yang sudah lama menyediakan cecair basmi kuman itu di beberapa lokasi terpilih seperti di beberapa tiang berhampiran pam minyak, namun ia tidak disedari pengguna.

Penyelia stesen minyak, Wahyu Supah berkata, mereka sudah menyediakan cecair itu di beberapa tiang berhampiran pam minyak sebelum isu Covid-19 tetapi pelanggan tidak menyedarinya.

Seorang lagi penyelia stesen minyak di premis lain, Norliana Osman, berkata mereka hanya diberitahu untuk menyediakan ‘hand sanitizer’ di kaunter bayaran tetapi tidak menerima arahan untuk meletakkannya di semua pam.

“Belum ada arahan pihak pengurusan tapi kami sentiasa pastikan pekerja kami mencuci pemegang pam minyak setiap jam terutama selepas ramai menggunakannya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 7:13 PM
    Digital NSTP Subscribe