Muhaamad Hafis Nawawi


PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa bangga dan berterima kasih kepada seluruh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian koronavirus baharu (Covid-19).

Muhyiddin berkata, beliau juga mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Hari Polis ke-213.

“Saya ingin menyatakan rasa terima kasih dan bangga terhadap polis yang sukarela melakukan kawalan secara besar-besaran dan tentulah ia memerlukan pengorbanan dan komitmen yang tinggi untuk terus menjamin negara kekal aman dan selamat.

“Sekarang, negara kita dilanda wabak Covid-19 yang tentunya mengancam kesejahteraan rakyat,” katanya dalam perutusan khas sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-213 kepada Bernama TV, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Beliau berkata, yang penting negara sudah melaksana PKP dan terima kasih kepada PDRM yang secara sukarela dikerah menjalankan tugas itu bagi menjamin ia dapat dilaksana secara berkesan.

“Saya juga ingin menyatakan rasa bangga saya terhadap khidmat bakti yang dicurahkan dan mudah-mudahan pengorbanan saudara akan mendapat balasan dan pahala yang sebesar-besarnya dari Allah SWT.

“Ia pengorbanan yang besar untuk menjamin negara kekal selamat dan sejahtera serta jauh daripada ancaman yang menjejas keselamatan semua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 10:12 PM
Digital NSTP Subscribe